BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Followers

Takut Hantu Atau Takut Tuhan


Penerbit filem di Malaysia semakin gemar memilih genre seram. Pada tahun ini, 13 daripada 31 filem-filem yang tersenarai setakat Oktober tahun ini di laman web Finas adalah filem-filem seram. Inilah jumlah genre filem seram yang paling tinggi dalam sejarah industri filem di negara ini.

Pada tahun lepas hanya tujuh daripada 29 filem yang ditayang adalah filem-filem seram, berbanding dengan lapan daripada 27 filem (2009), lima daripada 28 filem (2008), tujuh daripada 28 filem (2007), tiga daripada 28 (2006) dan tiga daripada 23 filem (2005).

Mengapakah genre filem-filem seram semakin menjadi pilihan para pendokong industri filem? Jawapan yang selalu kita dengar dan tahu mengikut kefahaman banyak ialah, genre filem seram dipilih kerana mendapat sambutan penonton. Jika diputar logiknya, ia bererti, selagi filem-filem seram mendapat sambutan, selagi itulah genre tersebut menjadi pilihan.

Benarkah mengikut hukum dunia perniagaan, kita seharusnya menumpukan kepada apa yang diingin oleh pelanggan? Ya dan tidak. Saya berkata 'ya' dan 'tidak' bersandarkan kepada dua pendekatan pemasaran. Jawapan 'ya' ialah pendekatan pertama yang percaya bahawa sesuatu produk yang mendapat sambutan itu harus diperbanyakkan. Ertinya, filem seram diperbanyakkan kerana ia mendapat sambutan ramai.

Jawapan 'tidak' pula adalah pendekatan kedua yang percaya bahawa sesuatu produk yang belum mendapat sambutan sesiapa pun, berpotensi mendapat sambutan ramai dan menguntungkan. Banyak sekali contoh-contoh melalui pendekatan kedua dapat kita lihat pada hari ini.

Kita ambil saluran televisyen sebagai contoh. Dahulu, mereka di dalam industri penyiaran tidak terbayang rancangan agama boleh mendapat sambutan penonton. Apabila muncul Forum Perdana di RTM1, sambutan para penonton cukup hebat. Rancangan bicara agama yang mengetengahkan tokoh-tokoh agama itu menjadi bualan dan pilihan ramai.

Kemudian, apabila Media Prima memperkenalkan TV9 yang berimejkan Islam, saluran itu mendapat sambutan. Mulalah timbul keyakinan bahawa ada segmen pasaran yang menyukai rancangan berbentuk Islami. Tidak lama kemudian, Astro memperkenalkan Astro Oasis. Dan kini, TV Hijrah pula bersiaran. Jumlah penontonnya akan bertambah apabila ia dipancarkan melalui saluran Astro mulai hari ini. Fenomena ini menunjukkan bahawa produk baru boleh mencipta segmen pasaran yang baru.

Di dalam dunia penerbitan bercetak pula, kita lihat bagaimana format majalah wanita sebelum ini hanyalah untuk wanita yang berkeluarga atau berkerjaya. Utusan Publications menerbitkan majalah Wanita, Berita Publishing dengan Jelita dan Kumpulan Karangkraf dengan majalah Nona.

Banyak penerbit lain menggunakan format wanita berkeluarga dan berkerjaya untuk konsep majalah wanita terbitan masing-masing. Seolah-olah itulah format yang diingini oleh para pelanggan. Tidak lama kemudian, apabila Kumpulan Karangkraf menerbitkan majalah Midi untuk wanita 40an, rupa-rupanya terdapat golongan wanita yang ingin membaca hal-hal wanita separuh usia. Akhirnya majalah Midi mendapat sambutan ramai.

Justeru itu, kepercayaan pertama bahawa sesuatu produk itu akan laris kerana ia diminati pelanggan bertentangan dengan realiti kedua iaitu sesuatu produk yang belum ada di pasaran sebelum ini boleh mencipta pelanggan yang baru. Realiti kedua lebih berisiko tetapi pulangannya lebih tinggi.

Berbalik kepada genre seram yang semakin mendapat perhatian para penerbit, sudah sampai masanya mereka beralih kepada genre yang lain atau sekurang-kurangnya mengubah formula bahawa 'filem seram itu adalah filem hantu.' Sebenarnya genre seram berkait rapat dengan fobia. Terdapat beratus-ratus jenis fobia yang boleh diambil sebagai tema sesebuah filem.

Aquaphobia : takutkan air, astraphobia: takutkan kilat,autophobia: takut bersendirian, gynophobia: takutkan perempuan, homophobia: takutkan darah, pediophobia:takutkan anak patung, philophobia: takutkan cinta dan somniphobia iaitu takut tidur adalah di antara beratus-ratus fobia yang boleh menjadi rencah pembikinan filem seram.

Yang pasti, filem-filem seram bertemakan pelbagai fobia itu lebih bermakna dan lebih thrill daripada filem seram yang menjadikan hantu sebagai watak utama. Tak payahlah perbanyakkan cerita hantu kerana kita mahu penonton takutkan Tuhan, bukannya takutkan hantu!

Jauhi Riak

PENYAKIT rohani yang mengancam kemurnian akidah umat Islam ialah sifat riak yang masih wujud walaupun ia dibenci Allah. Riak boleh membinasakan segala kebaikan dan pahala amal soleh seseorang itu. Sifat riak boleh dihindari dengan memperkuat dan mempertingkatkan iman sementara hati sentiasa takut akan azab dan seksaan Allah di akhirat nanti.

"Nun, demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan"

Imam Al-Ghazali berkata, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal kebajikan. Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat, riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat.

Paling mudah disimpulkan, riak adalah perbuatan yang semata-mata bertujuan mengharapkan sanjungan, pujian atau penghormatan orang lain. Hal ini bertentangan kehendak Islam yang menyeru umatnya beramal atau melakukan perkara kebajikan dengan hati ikhlas mengharapkan keredaan Allah.

Jika penyakit riak dibiarkan terus bersarang dalam hati seseorang, lama kelamaan ia akan membinasakan kemurnian akidah, keluhuran akhlak dan kesempurnaan amal umat Islam. Memang ada kalangan umat Islam yang melakukan sesuatu amalan kebajikan atau ibadat hanya untuk mengaburi mata orang ramai.

Mereka melakukan amalan kebajikan atau ibadat untuk menunjukkan kononnya mereka itu baik, pemurah, warak atau rajin beribadah.
Mereka lakukan perkara itu kerana didorong hawa nafsu yang sentiasa berusaha memesongkan mereka yang lemah imannya.

Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjauhkan diri daripada perbuatan riak. Sabda baginda bermaksud: Awaslah kamu jangan mencampuradukkan antara taat pada Allah dengan keinginan dipuji orang (riak), nescaya gugur amalanmu (Hadis riwayat Ad-Dailami)

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُواْ إِلَى الصَّلاَةِ قَامُواْ كُسَالَى يُرَآؤُونَ النَّاسَ وَلاَ يَذْكُرُونَ اللّهَ إِلاَّ قَلِيلاً
Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk salat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya (dengan salat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.

 
Multi-Colored Light Pointer